SplashMania Waterpark Gamuda Cove jangka dibuka Januari ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 1 Dec 2022 (The Capital Post): SplashMania Waterpark, taman air yang dibangunkan Gamuda Land di perbandaran Gamuda Cove dijangka dibuka pada Januari 2023.

-Advertisement-

Ia mempunyai 24 gelongsor air dan 15 tarikan utama, dengan beberapa daripadanya memberi pengalaman gelongsor air pertama seumpamanya di Malaysia, termasuk gelongsor air Realiti Maya.

Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune, berkata penambahan SplashMania Waterpark bukan saja memberi manfaat kepada penduduk di Gamuda Cove, tetapi juga masyarakat sekitar dan Malaysia pada umumnya dengan unjuran pengunjung tahunan sebanyak 800,000.

Beliau berkata, taman tema air itu akan membolehkan pihaknya menjangkau peluang eko-pelancongan yang belum diterokai di Lembah Klang selatan selaras dengan rancangan Tourism Selangor.

“Lokasi strategik Gamuda Cove di sepanjang Lebuhraya ELITE di koridor selatan Lembah Klang , serta berhampiran dengan KLIA dan KLIA2 akan menjadikannya sangat mudah diakses oleh pelancong tempatan dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Gamuda Land hari ini telah mengadakan pratonton SplashMania Waterpark kepada media, pihak berkuasa dan rakan kongsi utama.

Pengurus Besar (Riadah & Hospitaliti) Gamuda Land, Sanjay Nadarajah, berkata ‘Where Nature Meets Fun’ membentuk intipati SplashMania Waterpark.

Beliau berkata, dengan mengambil kira persekitaran semula jadi di taman air dan tanah paya di sekitarnya, pihaknya memastikan 70 peratus daripada taman air adalah kawasan hijau.

Gelongsor air di SplashMania Waterpark direka oleh Polin Waterparks dan ProSlide Technology, peneraju global yang dipercayai sebagai pembangun gelongsor dengan teknologi yang luar biasa dan rekod keselamatan yang inovatif.

Gelongsor air pertama seumpamanya di Malaysia, Shaka Waka ialah gelongsor air multimedia dan audio sepanjang 78 meter yang dilengkapi dengan pelbagai kesan cahaya LED yang boleh disesuaikan oleh setiap individu.

Bagi mereka yang gemar cabaran, mereka boleh menggunakan gelongsor air Wild Rush, yang mana ia adalah gabungan antara lengkung, titisan dan gelung pusaran, yang mana penggunanya akan terjun ke dalam kolam sedalam 3.35 meter pada penghujungnya.

-Advertisement-

Sementara itu, Atlantis VR memberikan pengalaman yang mengasyikkan selain daripada gelongsor air biasa.

Tetamu akan diberikan peranti Realiti Maya dan menikmati pengalaman berada di dunia yang sama sekali berbeza dengan memulakan perjalanan maya 250 meter melalui Lost City of Atlantis.

Gamuda Cove terletak di antara Paya Indah Discovery Wetlands dan Hutan Rizab Kuala Langat.

Mengambil inspirasi daripada persekitaran sekelilingnya, SplashMania Waterparks dipayungi lebih 1,500 pokok termasuk spesies pokok asli dan terancam.

Pada majlis pratonton itu, Gamuda Land mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan aplikasi mudah alih GL Play apabila taman air dibuka sebagai sebahagian daripada usaha pendigitalan taman untuk menawarkan kemudahan kepada pengunjung dan pelanggannya.

Apabila dilancarkan, pelanggan akan dapat membeli tiket mereka lebih awal melalui platform tempahan aplikasi.

Ia juga membolehkan pengunjung taman menavigasi melalui taman air menggunakan ciri peta taman dan membuat prapesan makanan dan minuman (F&B) mereka untuk mengelakkan beratur panjang.

-BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279