KUALA LUMPUR: Statistik kanak-kanak menjadi anak yatim disebabkan kehilangan ibu bapa yang meninggal dunia akibat COVID-19 adalah antara isu bakal dikupas pada persidangan Parlimen, hari ini.
-Advertisement-
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang akan diajukan Hannah Yeoh (PH-Segambut) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Yeoh turut meminta kementerian itu menyatakan, langkah yang diambil dalam penjagaan dan kebajikan kanak-kanak terbabit.
Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) pula akan meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan, langkah proaktif diambil untuk membendung penyalahgunaan media sosial yang mencetuskan suasana kegusaran dalam kalangan orang ramai terutamanya berkaitan vaksin COVID-19.
Dalam sesi soal jawab lisan itu juga, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan, sejauh mana pemantauan aktiviti pembalakan di kawasan yang digazet sebagai hutan simpanan dan tindakan diambil terhadap kes pelanggaran.
-Advertisement-
Persidangan Dewan Rakyat hari ini juga akan menyambung semula perbahasan Titah Diraja.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober. -BERNAMA -BH