Subsidi elak Malaysia alami inflasi luar biasa

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kadar inflasi Malaysia dijangka melonjak sehingga 11.4 peratus jika kerajaan memutuskan untuk menghentikan penyaluran subsidi mencecah RM51 bilion kepada rakyat tahun ini.

-Advertisement-

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata meskipun berdepan cabaran selepas keputusan mengekalkan pemberian subsidi terbesar dalam sejarah, kerajaan tetap mengambil kira keperluan dan berbelanja untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, tiga komponen utama subsidi iaitu bahan api, minyak masak serta elektrik, air, ayam dan telur merangkumi jumlah subsidi yang besar mencecah RM51 bilion daripada keseluruhan RM77.3 yang diumumkan kerajaan, perbelanjaan terbesar dalam sejarah negara.

Katanya, tanpa peranan kerajaan untuk menstabilkan harga, kadar inflasi yang dicatatkan sebanyak 2.8 peratus pada Mei pastinya meningkat dengan ketara kepada 11.4 peratus.

“Namun, kerajaan prihatin dan menyatakan komitmen untuk mengekalkan subsidi besar ini walaupun kita sedar tanpa subsidi, kewangan negara akan bertambah baik.

“Kerajaan ada dua pilihan iaitu hapus subsidi yang menyebabkan rakyat lebih tertekan dan kewangan kerajaan bertambah baik atau mengekalkannya.

“Bagaimanapun, kerajaan memilih untuk beri subsidi dan ia memberi tekanan kepada kedudukan kewangan, namun apa yang penting adalah menjaga kebajikan rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Statistics Data Warehouse (StatsDW) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mustapa berkata, penyaluran subsidi pada jumlah yang besar berbanding sebelum ini berkemungkinan memberi kesan kepada defisit fiskal negara.

-Advertisement-

Katanya, walaupun belum melihat semula angka defisit negara tahun ini, namun kerajaan memerlukan langkah penjimatan memandangkan jumlah subsidi meningkat dengan ketara berbanding sebelumnya.

“Sudah pasti (subsidi) akan beri tekanan kepada perbelanjaan negara, jadi kerajaan perlu melihat kepada langkah penjimatan. Mungkin ia berkaitan dengan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

“Ini penting kerana walaupun hasil bertambah sedikit berikutan harga minyak yang tinggi, tetapi ia tidak mampu menampung kenaikan ketara perbelanjaan untuk subsidi,” katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Sabtu lalu mengumumkan bahawa unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan berjumlah RM77.3 bilion tahun ini.

Katanya, ia termasuk perbelanjaan subsidi bahan api, minyak masak paket serta elektrik, air, ayam dan telur RM51 bilion, bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (RM11.7 bilion) serta lain-lain subsidi (RM14.6 bilion)

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu turut mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan kadar tarif elektrik dan air membabitkan subsidi sebanyak RM5.8 bilion.

Sebelum itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa subsidi minyak masak berpaket dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion tahun ini.

-BH