Lebuhraya KLK KM55.35 – 55.85 ditutup 30 minit mula 11 malam ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) akan menutup sebahagian Lebuhraya KLK di kedua-dua arah selama 30 minit mulai 11 malam ini.

-Advertisement-

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata penutupan itu bagi kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, penutupan itu bertujuan memudahkan laluan jentera berat yang terbabit dengan pembinaan terowong ECRL di Genting.

“Laluan di kedua-dua arah Lebuhraya KLK akan ditutup sepenuhnya dari Kilometer (KM) 55.35 hingga KM55.85 (Lentang) bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Sehubungan itu, ANIH Berhad ingin menasihati pengguna untuk merancang perjalanan dan jika perlu mempercepatkan atau menangguhkan perjalanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selepas jam 11.30 malam ini, hanya laluan lorong kiri akan dibuka di kedua-dua arah kepada pengguna.

-Advertisement-

ANIH Berhad menjangkakan laluan akan dibuka sepenuhnya di semua arah pada jam 5 pagi esok.

Radzimah berkata, pihaknya juga mengingatkan semua pengguna untuk memandu dengan berhemah dan mematuhi arahan petugas di lokasi.

Untuk maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT – Line di 1-700-818-700.

-BH