BKM: Bantuan cecah RM8.2 bilion, tertinggi dalam sejarah – Tengku Zafrul

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan inisiatif bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH), kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

-Advertisement-

Dalam satu kenyataan, hari ini, beliau memaklumkan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini, BKM Fasa 2 ditambah baik dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan BKM berjumlah RM8.2 bilion.

“Sebagai perbandingan, kadar maksimum BKM ialah RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480), iaitu peningkatan bantuan sebanyak 120 peratus sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan.

“Peningkatan ini adalah kerana had kelayakan untuk menerima BKM dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH, kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM,” katanya.

Beliau berkata, jumlah penerima BKM adalah seramai 8.6 juta berbanding hanya 4.5 juta penerima BSH.

Tengku Zafrul berkata, ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak menerima bantuan, termasuk sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 saja seperti inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini.

Beliau berkata, lazimnya BKM dikenali sebagai bantuan kepada golongan B40, namun hakikatnya bantuan itu kini memanfaatkan 12.6 juta individu, iaitu bersamaan 60 peratus rakyat dewasa di Malaysia.

-Advertisement-

Katanya, Kementerian Kewangan akan terus memantau faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik, bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal.

“Kerajaan juga sentiasa memantau situasi semasa dan yakinlah bahawa dasar kerajaan, baik dari segi bantuan langsung mahupun tidak langsung seperti subsidi keperluan asas, adalah bertujuan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, Perdana Menteri mengumumkan bantuan tunai tambahan bawah BKM, iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang, selepas kerajaan mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, BKM Fasa 2 dengan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion dibayar berperingkat kepada penerima layak bermula hari ini, akan memanfaatkan empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai hari ini melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

– BERNAMA -BH