‘Sudah serah laporan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut’ – EXCO Kesihatan Johor

Estimate Reading Time: < 1 minute

BATU PAHAT: Laporan kejadian pasangan warga emas yang maut selepas makan ikan buntal beracun sudah disiap dan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan terhadap pihak berkaitan.

-Advertisement-

Mangsa suami isteri itu ialah Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, dan Lim Siew Guan, 83.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima apa-apa maklum balas daripada pihak pendakwaan berhubung tindakan selanjutnya termasuk mendakwa mereka terbabit dalam kejadian ini.

“Cuma di sini saya hendak menjelaskan terdapat kekangan disebabkan kedua-dua akta iaitu Akta Makanan 1983 dan Akta Ikan (Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kedua-dua akta ini ada sedikit kekeliruan.

“Sekarang ini wujud kekeliruan sama ada ia terletak di bawah kuasa Jabatan Perikanan atau Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengambil tindakan,” katanya selepas melawat Klinik Kesihatan Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Justeru, Tian Soon berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan termasuk dengan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa supaya KKM menjadi ‘lead agency’ dalam kes seperti ini.

-Advertisement-

“Ini membolehkan KKM menambah baik akta terbabit dan kementerian juga mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. Langkah ini membolehkan peranan penguatkuasaan lebih jelas, siapa patut ambil tindakan jika perkara ini berlaku,” katanya.

Hari ini, keluarga pasangan warga emas terbabit mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab selain mendakwa dinafikan hak untuk mendapatkan laporan toksikologi berkaitan kematian warga emas terbabit pada Mac dan April lalu.

Mereka mendakwa sudah cuba meminta laporan toksikologi tetapi dinafikan atas alasan perlu diluluskan oleh penasihat undang-undang.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373