Sultan Pahang Terima Kunjungan Duta Besar UAE Dan Belanda

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN 29 Julai 2026, (The Capital Post) – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menerima kunjungan mengadap Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr Mubarak Saeed Ahmad Burshaid Aldhaheri serta Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner di Istana Abdulaziz, semalam.

Turut berangkat hadir mengiringi baginda ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.

Kunjungan hormat tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Kerajaan UAE dan Kerajaan Belanda, selain membuka ruang kepada penerokaan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang berpotensi memberi manfaat kepada rakyat.

-Advertisement-

Pertemuan berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan dalam mempererat hubungan antarabangsa serta meneroka peluang kerjasama yang mampu menyokong agenda pembangunan negeri Pahang pada masa hadapan.

Kerjasama dalam pelbagai sektor bersama kedua-dua negara dijangka dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan negeri serta memperluaskan jaringan strategik Pahang di peringkat global. – The Capital Post