Sungai Bernam jadi tumpuan pemburu ‘ sepit biru ‘

Estimate Reading Time: < 1 minute

SLIM RIVER, 13 Jan 2023 ( The Capital Post): Kaki pancing mula mengunjungi kawasan ‘lubuk’ di Sungai Bernam yang bersempadan negeri Perak dan Selangor untuk memburu ‘ sepit biru ‘ atau dikenali udang galah, dekat sini.

-Advertisement-

Pengerusi Persatuan Pencinta dan Sahabat Sungai ( PPSS) Daerah Muallim, Shaharin Samsuddin, berkata setiap tahun bermula bulan Januari sehingga Februari ramai kaki pancing akan bertumpu di kawasan sungai terbabit.

Katanya, bagi kaki pancing yang mempunyai bot biasanya akan mencari kawasan lubuk sungai sebagai tempat untuk memancing udang galah.

“Sungai ini memang terkenal kerana mempunyai udang galah sepit biru yang bersaiz besar.

“Ketika ini, ramai kaki pancing sama ada siang atau malam akan mengunjungi kawasan lubuk sungai bagi memancing udang berkenaan.

“Kawasan lubuk sungai yang mempunyai pokok atau dahan kayu mati, dipercayai mempunyai banyak udang galah,” katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Menariknya, harga udang galah bersaiz besar mampu mencecah RM150.00 sekilogram menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, malah mampu memberi pendapatan tambahan kepada nelayan darat.

Shaharin berkata, hanya berumpankan cacing, pemancing kadang kala mampu memperolehi lebih lima kilogram udang galah.

“Udang galah di sungai ini mempunyai harga yang tinggi di pasaran dan bagi yang bersaiz besar mampu dijual kira-kira RM 80.00 sekilogram.

-Advertisement-

“Istimewanya udang galah yang terdapat di sungai ini ialah kerana tidak berbau hanyir menyebabkan ia mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Selain memancing, Shaharin berkata dia juga melakukan pemantauan di sepanjang sungai berkenaan.

Katanya, pemantauan bertujuan memastikan tiada aktiviti pencemaran berlaku di sungai yang juga manjadi punca rezeki kepada nelayan darat di daerah ini.

“Sambil mencari lubuk sungai yang mempunyai udang galah, saya juga memantau di sepanjang sungai untuk memastikan tiada aktiviti mencurigakan atau kesan berlakunya pencemaran.

“Sungai adalah khazanah alam semulajadi yang perlu dipelihara dan dipulihara supaya hidupan air tidak terancam di samping untuk generasi akan datang,” katanya.

-BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373