Surat hadiah AS$100 juta Kerabat Arab Saudi tidak pernah didedahkan kepada Bank Negara – Zeti

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu yang surat didakwa daripada Kerabat Diraja Arab Saudi, menyatakan wang tunai berjumlah AS$100 juta dihadiahkan kepada Datuk Seri Najib Razak, tidak pernah didedahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

-Advertisement-

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata tiga surat bertarikh 1 November 2011, 1 Mac 2013 dan 1 Jun 2014 didakwa daripada Abdulaziz Majid Al Saud yang juga bekas Gabenor Wilayah Madinah dirampas pada 6 Julai 2015 ketika BNM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan bersama di AmBank.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, pada sesi pemeriksaan utama, Zeti berkata, AmBank mahupun Najib tidak mengemukakan surat berkenaan kepada BNM.

“Selain itu, dua surat yang dikatakan dikeluarkan kepada BNM oleh Pengarah Urusan Kumpulan 1MDB, Ashok Ramamurthy (berhubung pembukaan akaun peribadi Najib) timbul ketika siasatan BNM pada Julai 2015.

“Fakta ini terbukti daripada surat-menyurat antara Abd Rahman Abu Bakar daripada BNM dan Tan Sri Azman Hashim daripada AmBank. Surat-menyurat terbabit adalah bertarikh 22 dan 5 Oktober 2015 dan 11 Mei 2016.

“Semasa serbuan itu juga didapati kod akaun bernama AmPrivate Banking – MR sudah ditutup dan tiga akaun yang dibuka pada 2013 juga ditutup,” katanya.

-Advertisement-

Zeti berkata, melalui surat kepada BNM bertarikh 20 Jun 2013, Najib meminta kelulusan FEA (Pentadbiran Pertukaran Mata Wang Asing) untuk menukar jumlah RM2.26 bilion dalam akaun semasa MYR kepada dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan memulangkan keseluruhan amaun.

Katanya, dalam surat itu, beliau mengisytiharkan dana itu sebagai jumlah derma dan hadiah peribadi belum digunakan yang diterimanya.

Mengambil maklum akan surat itu, Zeti berkata, bagi dana yang dimiliki oleh pemegang akaun seperti yang diisytiharkan, tiada kelulusan yang diperlukan di bawah peraturan FEA.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373