TEKUN Online Mudahkan Permohonan Pembiayaan Usahawan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan Sistem Permohonan TEKUN Online sebagai langkah memperkemas proses permohonan pembiayaan serta memudahkan akses usahawan kepada kemudahan kewangan TEKUN Nasional.

Majlis pelancaran sistem berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong di Kuala Lumpur International Hotel.

Melalui sistem baharu tersebut, usahawan di seluruh negara kini boleh mengemukakan permohonan pembiayaan TEKUN Nasional secara dalam talian sepenuhnya tanpa perlu hadir ke pejabat cawangan, sekali gus menjadikan proses permohonan lebih mudah, pantas dan efisien.

Antara penambahbaikan yang diperkenalkan ialah pemendekan tempoh kelulusan pembiayaan di bawah RM100,000 daripada sekitar 30 hari kepada tujuh hari. KUSKOP turut menyasarkan proses kelulusan serta penyaluran pembiayaan dapat dipercepatkan sehingga lima hari pada masa akan datang.

-Advertisement-

Selain itu, inisiatif pra-kelulusan pembiayaan sehingga RM20,000 dalam tempoh 24 jam turut dijadikan sasaran perkhidmatan berterusan bagi membantu usahawan mendapatkan sokongan kewangan dengan lebih cepat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (P) KUSKOP merangkap Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi TEKUN Nasional, YBhg. Dato’ Haji Abdullah Sani Abdul Hamid; Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional, YB Tuan Haji Mohd Sany Hamzan serta barisan pengurusan kanan KUSKOP dan agensi berkaitan.

Pelaksanaan Sistem Permohonan TEKUN Online mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa transformasi digital perkhidmatan awam serta memperluas peluang pembiayaan kepada komuniti usahawan di seluruh negara. – The Capital Post