Tenaga boleh diperbaharui, sumber nadir bumi negara dicuri warga asing – PM

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui industri baharu negara seperti tenaga boleh diperbaharui dan sumber nadir bumi menjadi sasaran dicuri oleh warga asing.

-Advertisement-

Perdana Menteri berkata, setakat ini, tindakan yang diambil terhadap kegiatan haram seperti penyeludupan sumber kekayaan negara itu tidak drastik bahkan masih kurang ketegasan.

Beliau memuji apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sembilan, dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan haram seumpama itu, termasuk menutup kilang haram terbabit.

“Kekangan kita, beberapa industri baharu, termasuk tenaga boleh diperbaharui serta penggunaan nadir bumi yang sekarang ini, menghadapi beberapa masalah tentang penyeludupan dan juga tindakan haram.

“Hanya Kerajaan Negeri Sembilan telah mengambil tindakan yang agak tegas dengan menutup kilang haram itu. Tetapi di negeri lain masih belum mengambil tindakan tegas.

“Tindakan tegas oleh Kerajaan Negeri Sembilan ini untuk menghalang terutama orang asing menggunakan keupayaan kita dan hasil dalam negeri kita,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) berkenaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen yang diwujudkan oleh Mesyuarat Majlis Sains Negara.

Mengulas mengenai pelan itu, Perdana Menteri berkata, ia adalah rancangan jangka panjang negara dalam memajukan ekonomi hidrogen melalui ekosistem yang inovatif dan dipacu oleh teknologi, untuk membolehkan transisi kepada tenaga lebih bersih.

Katanya, penetapan pelan berkenaan adalah sejajar dengan empat sasaran merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Dasar dan Pelan Tindakan Tenaga Boleh Baharu Negara, Pelan Hala Tuju Boleh Baharu Malaysia 2022-2035 dan Dasar Tenaga Negara 2022-2040.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373