TH, syarikat katering meterai kontrak jangka panjang 3+2 tangani kos makanan

Estimate Reading Time: 3 minutes

MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) memeterai kontrak jangka panjang 3 tahun + 2 tahun (semakan semula) dengan syarikat katering yang menyediakan makanan untuk jemaah haji muassasah negara di Tanah Suci, sebagai antara langkah menangani kenaikan kos berikutan impak peningkatan berterusan harga bahan mentah.

-Advertisement-

-Advertisement-

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata inisiatif itu membolehkan pihak syarikat terbabit membuat pelaburan jangka panjang, terutama dari segi pemerolehan peralatan dapur berteknologi tinggi yang dapat membantu menjimatkan kos berkaitan.

Peningkatan kos makanan bagi keperluan jemaah turut menyumbang kepada kenaikan kos operasi haji secara keseluruhan sebanyak lapan peratus bagi musim 1444H/2023M.

“Harga bahan mentah diperoleh daripada pembekal memang sudah naik tetapi pada masa sama, TH mahu terus mengekalkan kualiti dan kuantiti makanan yang disediakan untuk jemaah haji negara.

” Amat penting untuk kita memastikan kebajikan jemaah menerusi pemakanan sihat dengan nutrisi seimbang serta bersih. Justeru, dapur (syarikat katering) dipilih TH adalah yang betul-betul menekankan penyediaan makanan mengikut piawaian, malah mereka juga memiliki pensijilan antarabangsa.

“Sudah tentu ada impak daripada kenaikan kos bahan mentah dan penggajian pekerja yang ramai untuk keperluan dari proses penyediaan hinggalah pengagihan makanan kepada jemaah haji negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tiga dapur, iaitu Retaj Restaurant For Catering Services, Taghdiah Advanced Co Ltd dan Al Wafa Catering yang yang merupakan antara lapan syarikat katering menyediakan makanan untuk jemaah haji negara di Madinah serta Makkah.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin, dan Pengarah Operasi Katering, Rashidi Razali @ Ghazali.

Mengulas lanjut, Syed Saleh menjelaskan selain memeterai kontrak jangka panjang, TH turut berusaha menangani kenaikan kos makanan jemaah haji melalui inisiatif penggunaan rempah ratus pracampur atau ‘premix’ berbentuk serbuk dan peralatan dapur berteknologi tinggi yang dapat mengurangkan jumlah penggajian pekerja serta masa penyediaan sajian dalam operasi dapur.

Antara peralatan dapur berkenaan ialah mesin pemotong bahan mentah dan ketuhar berteknologi tinggi yang dapat memasak makanan dalam kuantiti besar serta tempoh singkat.

Dalam pada itu, beliau berkata, TH terus menitikberatkan penyediaan sajian citarasa Malaysia yang berkualiti kepada jemaah, malah meningkatkan kepelbagaian menu kepada 42 jenis lauk pada musim haji ini berbanding 28 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Syed Saleh menjelaskan, inisiatif itu tidak membabitkan peningkatan kos di mana pelbagai menu berkenaan dimasak menggunakan ‘premix’ daripada hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan pihak kilang pengeluar.

“Menu terbabit sudah dirancang dari Malaysia lagi di mana setiap tahun, kita akan membuat ‘post mortem’ untuk melihat jenis makanan yang digemari dan kurang digemari jemaah haji, sekali gus membuat penambahbaikan pada tahun mendatang.

“Penyediaan menu berkenaan juga mengambil kira saringan dilakukan pakar diet daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan ia seimbang dari segi nutrisi,” katanya.

Malah, Syed Saleh berkata, kepelbagaian sajian terbabit yang disediakan secara kitaran itu juga dapat mengelak pembaziran makanan akibat jemaah jemu menikmati menu sama dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, makanan untuk jemaah haji muassasah pada musim haji ini disediakan dua dapur di Madinah dan enam lagi di Makkah, dengan 18 tukang masak berpengalaman dibawa dari Malaysia bagi memastikan penyediaan makanan mengikuti piawaian ditetapkan.

“Dari peringkat awal lagi, TH membuat pemilihan dapur bersesuaian dengan melihat pelbagai aspek penting, termasuk peralatan, sistem penerimaan dan penstoran bahan mentah, penyediaan makanan, sistem pembungkusan hinggalah penghantaran makanan ke bangunan penginapan jemaah haji.

“Selain dipantau secara berkala oleh pasukan penyelia katering, Unit Kesihatan Awam KKM serta audit dalaman TH, dapur terbabit juga dipantau ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi meliputi Majlis Perbandaran, Kementerian Kesihatan dan pelbagai badan lagi.

” Malah untuk beroperasi, pihak dapur yang berlesen itu perlu mendapat permit dan pensijilan daripada antara lapan hingga 10 badan berkuasa di Arab Saudi. Semua langkah ini bertujuan memastikan kualiti, kuantiti, kebersihan dan keselamatan makanan adalah mengikut piawaian ditetapkan.

“Setiap dapur terbabit mengimport bahan mentah seperti ikan, ayam dan daging dari pelbagai negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Brazil, Vietnam, Oman, India serta Norway, selain turut mendapatkannya di Arab Saudi, manakala bekalan sayur-sayuran pula diperoleh secara harian bagi mengekalkan kesegarannya,” katanya.

Beliau berkata, pek sajian makan tengah hari dan makan malam untuk jemaah haji setiap hari berisi nasi sebanyak 200 gram (g), bahan protein (150g) dan sayur (80g), dengan penutupnya dicetak maklumat penting seperti senarai makanan boleh mengakibatkan alahan.

Setakat Selasa lalu, katanya sebanyak 287,241 pek makanan sudah disedia dan diedarkan kepada jemaah haji di Madinah dan Makkah.

“Dianggarkan lebih dua juta pek sajian dikeluarkan hingga akhir musim haji ini,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373