Tiada lagi ‘total lockdown’ – Mohamed Azmin

Estimate Reading Time: < 1 minute

BATU PAHAT: Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memberi jaminan tiada lagi ‘total lockdown’ walaupun negara berdepan peningkatan kes COVID-19.

-Advertisement-

Beliau menjelaskan, sekatan pergerakan sepenuhnya itu tidak boleh dilaksanakan semula kerana akan memberi kesan amat besar terhadap ekonomi rakyat dan negara.

“Saya sudah memberitahu dan kementerian pun sudah memaklumkan pendirian kerajaan hari ini. Kita mesti bertindak mengikut data dan sains.

“Mungkin pada peringkat awal dulu, kita tiada pengalaman dan tidak cukup data untuk bertindak. Namun sekarang sudah dua tahun. Kita tidak boleh tanggung untuk melaksanakan ‘total lockdown’.

“Kesannya terhadap pekerjaan amat besar. Dalam tempoh tiga bulan pertama kita melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) penuh pada 2020, kadar pengangguran naik kepada 5.3 peratus dengan kira-kira 826,000 orang hilang pekerjaan.

“Apabila seorang pekerja hilang pekerjaan, kesannya akan turut membabitkan sebuah keluarganya yang mungkin ada empat atau lima orang.

“Justeru jika didarab, hampir 5 juta rakyat Malaysia tiada pendapatan dan tidak mampu meletakkan makanan di atas meja untuk keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, di sini, malam tadi.

-Advertisement-

Yang turut hadir, Presiden Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, Boo Chin Liong, dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, sekiranya ada peningkatan mendadak kes COVID-19, kerajaan akan mengambil pendekatan menangani secara bersasar.

“Pandemik adalah sesuatu yang perlu kita uruskan dengan efektif.

“Bagi soal kesihatan, kita akan usahakan yang terbaik. Namun, aspek kesihatan ekonomi juga penting. Inilah tanggungjawab kita untuk memastikan keseimbangan,” katanya.

Penularan COVID-19 di negara ini terus meningkat dengan sebanyak 11,034 kes baharu dilaporkan, semalam.

-BH