TikTok sumber berita terbesar remaja UK – Kajian

Estimate Reading Time: 2 minutes

LONDON: TikTok kini menjadi sumber tunggal berita yang paling banyak digunakan di semua platform untuk remaja di United Kingdom (UK), lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik satu kajian baharu pengawal selia komunikasi UK Ofcom.

-Advertisement-

Laporan Penggunaan Berita Pengawal Selia Di UK 2022/23 mendapati, TikTok adalah sumber berita tunggal yang digemari dalam kalangan kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.

TikTok paling popular dalam kalangan orang muda dan digunakan oleh 28 peratus remaja, diikuti oleh YouTube dan Instagram, kedua-duanya pada 25 peratus.

Bagaimanapun, dengan mengambil kira semua kandungan berita pada platformnya, BBC masih mempunyai capaian tertinggi daripada mana-mana organisasi berita dalam kalangan kumpulan umur ini, 39 peratus remaja menggunakannya.

Kecenderungan itu berlaku selepas kerajaan UK melarang menteri daripada menggunakan TikTok, yang juga aplikasi perkongsian video milik China, pada telefon kerja mereka berikutan satu semakan keselamatan.

TikTok dimiliki oleh syarikat internet China ByteDance, berpendapat platform itu tidak berkongsi data dengan China.

Bagaimanapun, undang-undang perisikan Beijing menetapkan syarat supaya syarikat-syarikat membantu Parti Komunis apabila diminta.

Apabila mempertimbangkan persepsi kepercayaan, remaja menilai sumber tradisional lebih baik daripada rakan dalam talian mereka ketika BBC One/Two dipercayai oleh 82 peratus pengguna remajanya, berbanding TikTok pada 32 peratus, Instagram pada 38 peratus, Facebook pada 41 peratus dan Snapchat pada 31 peratus.

Pengecualian diberikan kepada Twitter, dengan rating 50 peratus pada kepercayaan, dedah Ofcom.

Topik berita yang paling menarik minat remaja yang lebih muda secara amnya ialah ‘personaliti sukan atau sukan’ (23 peratus), ‘berita muzik atau penyanyi’ (15 peratus), ‘selebriti atau orang terkenal’ (11 peratus), ‘perkara serius yang berlaku di UK’ (lapan peratus) dan berita mengenai ‘haiwan atau alam sekitar’ (sembilan peratus).

-Advertisement-

Selain itu, mereka yang berumur 16 hingga 24 tahun adalah lebih kecil daripada purata orang dewasa untuk mengakses berita daripada sumber media tradisional, seperti TV (47 berbanding 70 peratus), radio (25 berbanding 40 peratus) dan akhbar cetak (16 berbanding 26 peratus).

Sementara itu, platform media sosial mendominasi lima sumber berita paling popular dalam kalangan remaja berusia 16 hingga 24 tahun.

Instagram adalah sumber berita tunggal yang paling banyak digunakan pada 44 peratus, diikuti oleh Facebook pada 33 peratus, Twitter pada 31 peratus, dan TikTok pada 29 peratus.

Mendapat tempat kedua bersama, BBC One pada 33 peratus adalah satu-satunya sumber media tradisional yang dipaparkan dalam lima teratas.

Ofcom berkata angka diperolehinya menunjukkan siaran berita TV mengekalkan kedudukannya sebagai sumber paling popular dalam kalangan orang dewasa di UK, digunakan sebanyak 70 peratus meningkat kepada 75 peratus apabila kandungan berita atas permintaan penyiaran disertakan.

Sementara itu, Facebook – sumber berita ketiga paling popular dalam kalangan orang dewasa menunjukkan tanda penurunan, daripada 33 kepada 30 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

Populariti TikTok sebagai sumber berita untuk orang dewasa semakin berkembang, dengan satu daripada 10 orang dewasa mengatakan mereka menggunakannya untuk mengikuti cerita terkini mengatasi BBC Radio 1 dan Channel 5, kedua-duanya pada lapan peratus buat kali pertama.

– BERNAMA-dpa

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5309