ALOR SETAR 3 Ogos 2026, (The Capital Post) – Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 melabuhkan tirai dengan kejayaan besar apabila merekodkan kehadiran lebih 560,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya, sekali gus melepasi sasaran awal seramai 550,000 pengunjung.
Majlis Perasmian Penutupan TOK 2026 telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, YB Dato’ Mohd Salleh Saidin, yang menyaksikan kejayaan program dalam memperkenalkan keunikan seni, budaya dan warisan negeri kepada masyarakat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, YBhg. Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff serta Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
-Advertisement-
Penganjuran TOK 2026 menjadi platform penting dalam mengetengahkan identiti budaya Kedah menerusi pelbagai pengisian yang menarik, selain menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Kejayaan sambutan tersebut turut mencerminkan potensi besar produk seni, budaya dan warisan tempatan dalam menarik pelancong, selaras dengan usaha menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 serta memperkukuh kedudukan Kedah sebagai destinasi pelancongan pilihan. – The Capital Post