Triti Laut Sulawesi tidak babitkan Ambalat

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengambil ringan dan membuat keputusan sewenang-wenangnya berhubung isu berkaitan sempadan maritim kerana membabitkan kedaulatan negara.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, menegaskan bahawa persempadanan maritim yang dipersetujui dalam Triti Laut Sulawesi di antara Malaysia dan Indonesia, tidak membabitkan kawasan yang disebut sebagai Ambalat.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama negara juga perlu menghormati hubungan diplomatik yang baik bagi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran dengan mana-mana negara jiran.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi, bahawa kawasan atau persempadanan maritim yang dipersetujui Triti Laut Sulawesi tidak langsung membabitkan kawasan yang disebutkan sebagai Ambalat,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad Alamin berkata, Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun 2023, tidak membabitkan persempadanan maritim di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) atau pelantar benua di antara Malaysia dan Indonesia, di mana terletaknya kawasan yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat.

-Advertisement-

“Triti itu hanya meliputi kawasan di separa perairan laut wilayah dan langsung tidak membabitkan kawasan yang disebut Ambalat.

“Bagaimanapun masih terdapat baki sempadan yang perlu dirundingkan iaitu membabitkan wilayah perairan laut,” katanya.

Tambahnya, disebabkan proses ratifikasi yang berbeza oleh kedua-dua negara, dokumen itu masih belum boleh dikongsi kepada umum.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373