Trump hadapi tuduhan cuba batalkan kekalahan pemilihan presiden AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini didakwa atas tuduhan jenayah kerana cuba membatalkan kekalahan dalam pemilihan presiden AS pada 2020 iaitu tuduhan jenayah ketiga ke atas beliau dalam tempoh empat bulan terakhir.

-Advertisement-

Beliau didakwa atas tuduhan bersubahat untuk menipu kerajaan AS, cubaan untuk menyogok seorang saksi dan bersubahat untuk menghalang suara rakyat.

Dakwaan itu mengakhiri siasatan Persekutuan berhubung rusuhan di Bangunan Capitol yang berlaku hampir tiga tahun lalu.

Trump menafikan segala tuduhan terhadapnya dan bekas presiden itu juga didakwa dalam dua lagi kes berasingan berhubung pengendalian dokumen rahsia kerajaan dan membayar pelakon lucah sebelum pilihan raya 2016.

Siasatan berkenaan memberi tumpuan kepada tindakan Trump dalam tempoh dua bulan selepas kalah dalam pilihan raya dan rusuhan di Washington DC, di mana penyokongnya menyerbu Kongres ketika Ahli Parlimen mengesahkan kemenangan Presiden Joe Biden.

Trump diarah hadir di Mahkamah Persekutuan di Washington pada Khamis di hadapan Hakim Daerah AS, Judge Tanya Chutkan, yang dilantik bekas presiden AS, Barack Obama.

Tuduhan terhadap Trump adalah hasil siasatan terperinci Pegawai Pendakwa Khas, Jack Smith, terhadap dakwaan Trump cuba mengubah kekalahannya kepada Biden.

Smith berkata Jabatan Keadilan AS akan memohon untuk mempercepatkan perbicaraan kes Trump

-Advertisement-

“Kami mempunyai bukti mencukupi menunjukkan serangan terhadap Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021 berlaku kerana Trump menipu penyokongnya untuk merusuh, dalam usaha menghalang Biden menjadi presiden AS,

“Kami akan berusaha mendapatkan perbicaraan yang pantas supaya bukti kami dapat diadili di mahkamah dan dihakimi juri dalam kalangan rakyat,” katanya kepada pemberita.

Kertas tuduhan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan itu turut mengandungi enam rakan subahat bersama Trump yang tidak dinamakan.

Walaupun masih menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah, Trump, 77, masih mampu memperkukuhkan kedudukannya sebagai calon utama presiden AS bagi parti Republikan pada pemilihan seterusnya.

– REUTERS

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373