Tumpahan minyak jejaskan usaha terbalikkan MV Tung Sung

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUCHING: Usaha untuk menterbalikkan MV Tung Sung yang karam di perairan Pulau Burung, Sebuyau, berdepan kesukaran berikutan kebocoran minyak dikesan dari bilik jentera kapal kargo berkenaan.

-Advertisement-

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus, berkata tompokan minyak dikesan pada hari pertama proses untuk menterbalikkan kapal kargo sepanjang 56 meter itu, semalam.

Berikutan itu katanya, kerja-kerja perlu dijalankan dengan teliti dengan pemantauan rapi bagi mengelak tumpahan minyak menjejaskan perairan sekitar

“Kebocoran minyak dikesan pihak kontraktor yang dilantik oleh pemilik kapal itu pada hari pertama usaha untuk menterbalikkan kapal itu bagi mengesan empat lagi kru yang masih hilang.

“Berikutan tompokan minyak dikesan di sekitar kawasan kerja-kerja menterbalikkan kapal itu, aset Maritim Malaysia, KM Kota Kinabalu dan kapal Permata Hidro dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) diaturgerakkan bagi penugasan pemantauan dan kawalan tumpahan minyak di kawasan terbabit,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang masuk hari kesembilan diteruskan dengan kerja-kerja menterbalikkan kapal itu hari ini.

Sebanyak lapan aset Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Sarawak Coast Guard (SCG), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) dengan kekuatan seramai 103 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi CARILAMAT itu.

“Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) JBPM akan digerakkan bagi melakukan pencarian sebaik kapal berkenaan berjaya diterbalikkan nanti,” katanya.

-Advertisement-

Empat mayat dipercayai kru MV Tung Sung yang dilaporkan hilang selepas kapal kargo itu karam dan terbalik di perairan Pulau Burung, pada malam 19 Julai lalu ditemui terapung, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, identiti semua empat mayat yang ditemui itu masih belum dikenalpasti berikutan kesukaran mendapatkan sampel Asid Deoksiribonukleik (DNA) lima warga asing.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam, 19 Julai lalu, kapal kargo yang dalam pelayaran dari Kuching ke Sarikei karam dan terbalik selepas dibadai ombak besar dan angin kencang.

Lapan kru berusia antara 20 hingga 52 tahun hilang dengan tiga daripadanya adalah warga tempatan iaitu Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Chuit.

Lima lagi adalah warga asing iaitu empat warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo manakala seorang warga Indonesia, Lido Ali Purwanto.

Seorang kru, Maxwell Billy Stimba, 26, yang juga anak kepada salah seorang kru yang masih hilang, terselamat kerana tidak menaiki kapal berkenaan ketika memulakan pelayaran dari Kuching.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373