Tumpuan ke Istana Negara, sekurang-kurang 5 nama besar calon PM

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Sorotan penting politik negara hari ini lebih tertumpu kepada Yang di-Pertuan Agong apabila ketua-ketua parti akan dipanggil menghadap dalam menentukan calon Perdana Menteri kesembilan serta proses pembentukan kerajaan baharu.

-Advertisement-

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka menerima menghadap ketua-ketua parti utama di Istana Negara, bermula jam 2 petang ini.

Dalam sesi menghadap itu, mereka dijangka mempersembahkan nama-nama calon Perdana Menteri baharu sekaligus membolehkan Seri Paduka mendapat gambaran jelas berkenaan tahap sokongan ahli-ahli Parlimen terhadap calon berkenaan.

Antara pemimpin politik yang dicanangkan sebagai bakal calon Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.
Desas-desus turut mengaitkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Andaikan itu dibuat pemerhati dan penganalisis politik yang berdasarkan kepada sokongan dan kedudukan parti dan gabungan masing-masing, selain bersandarkan pengalaman lama yang dimiliki mereka.

-Advertisement-

Namun, untuk menjadi Perdana Menteri, mereka sekurang-kurangnya memerlukan sokongan majoriti mudah 111 daripada Ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan baharu. Ketika ini Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi kerana dua kerusi lagi masih kosong berikutan kematian penyandangnya.

Bagaimanapun pada masa ini, setiap blok parti politik dikatakan masih berdepan kebuntuan kerana tiada satu pun mempunyai majoriti itu melainkan mereka berkompromi untuk mengukuhkan kedudukan.

-BH