UIAM, KPT Perkukuh Kerjasama Strategik

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 30 Julai 2026, (The Capital Post) – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim sebagai tanda penghargaan serta mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau menerajui pentadbiran kementerian.

Delegasi UIAM yang diketuai Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar turut memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi universiti bersama portfolio masing-masing, selain berkongsi perkembangan semasa institusi termasuk persediaan sesi onboarding Ahli Lembaga Gabenor baharu.

Perbincangan turut menyentuh aspek tadbir urus, mandat serta hala tuju strategik universiti dalam usaha memperkukuh kecemerlangan institusi, di samping membincangkan kedudukan kewangan, keperluan pembangunan dan keutamaan strategik yang memerlukan sokongan KPT bagi memastikan agenda pembangunan pendidikan tinggi dapat dilaksanakan secara mampan.

-Advertisement-

Dalam sesi tersebut, Ketua Setiausaha KPT berkongsi pandangan serta harapan terhadap masa depan UIAM, khususnya dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan pembangunan institusi dan mengukuhkan kerjasama strategik antara kementerian dengan universiti.

Kunjungan hormat itu mencerminkan komitmen bersama KPT dan UIAM untuk terus memacu transformasi pendidikan tinggi menerusi kepimpinan yang berwibawa, tadbir urus yang progresif serta pelaksanaan strategi yang mampu memperkukuh kecemerlangan institusi demi melahirkan graduan berilmu dan berdaya saing. – The Capital Post