KSU Komunikasi Tinjau Pusat Media PRN N9

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN 30 Julai 2026, (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, mengadakan tinjauan ke Pusat Media Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Hotel Seri Malaysia, Seremban bagi memastikan segala kemudahan dan operasi media berada pada tahap terbaik menjelang proses pengundian.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut beramah mesra dengan pengamal media daripada pelbagai agensi serta petugas pusat media yang bertanggungjawab mengendalikan operasi liputan sepanjang pilihan raya berlangsung.

Datuk Abdul Halim menegaskan kepentingan penyediaan kemudahan yang lengkap, selesa dan kondusif bagi menyokong kelancaran tugas pengamal media, termasuk dari aspek kemudahan kerja, capaian komunikasi serta sokongan logistik.

Beliau berkata, penyediaan pusat media yang efisien merupakan antara faktor penting dalam memastikan maklumat berkaitan proses pilihan raya dapat disampaikan kepada rakyat secara tepat, pantas dan berintegriti.

-Advertisement-

Tinjauan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Komunikasi dalam memastikan operasi liputan media berjalan lancar sepanjang PRN Negeri Sembilan Ke-16, sekali gus menyokong penyampaian maklumat yang sahih kepada orang ramai.

Turut hadir ialah Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Mohd Sabri Abdullah, serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan, Haji Faisal Hamdi. – The Capital Post