PUTRAJAYA 25 OGOS 2026 (The Capital Post) – Persiapan menjelang Sambutan Hari Kebangsaan 2026 terus diperkemaskan menerusi sesi latihan persembahan yang melibatkan ratusan peserta serta pelajar dari seluruh Putrajaya.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengisian, YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, berkesempatan menyantuni sesi latihan persembahan 150 peserta pergendangan “Gema Inovasi MADANI” serta penglibatan 1,500 pelajar daripada 36 sekolah dalam persembahan grafik manusia.
Latihan tersebut merupakan antara persiapan bagi memastikan pengisian Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dapat dipersembahkan dengan lancar dan meriah pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya.
Penglibatan pelajar dan peserta dalam skala besar itu turut mencerminkan semangat kerjasama serta komitmen pelbagai pihak dalam menjayakan acara sambutan kemerdekaan negara.
-Advertisement-
JKKN turut merakamkan penghargaan terhadap usaha, disiplin dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua peserta serta pelajar sepanjang menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi hari bersejarah tersebut.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dijangka menjadi platform penting untuk menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta memupuk rasa kecintaan terhadap negara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan sambutan pada 31 Ogos 2026 di Dataran Putrajaya sebagai tanda penghargaan terhadap sejarah, perjuangan dan semangat kebangsaan yang menyatukan rakyat. – The Capital Post