47.2 peratus rakyat Malaysia sudah lengkap vaksin

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Sarawak, Negeri Sembilan, Perlis, Melaka, Wilayah Persekutuan Labuan dan Lembah Klang mencatatkan peratusan populasi dewasa mendapat vaksin lengkap melebihi 40 peratus, nilai ambang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) setakat Isnin lalu.

-Advertisement-

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dalam satu kenyataan bersama hari ini, berkata selebihnya, lima negeri sudah mencapai kadar antara 30 hingga 39 peratus pepulasi dewasanya yang menerima vaksin lengkap iaitu Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Pahang dan Kedah dan hanya tiga negeri iaitu Kelantan, Johor dan Sabah yang berada dalam kategori antara 20 hingga 29 peratus.

Namun, katanya, mengambil kira penjadualan bekalan penghantaran vaksin pada bulan ini, semua negeri ini disasarkan akan mencapai nilai ambang itu pada hujung bulan ini.

Kenyataan itu juga memaklumkan, Program Imunisasi COVID-19 (PICK) yang diterajui oleh MOSTI kini berada di landasan tepat dalam usaha negara untuk mencapai perlindungan yang dikehendaki pada Oktober ini.

“Sehingga Isnin lalu, peratusan populasi dewasa di negara ini yang lengkap divaksinasi mencapai 47.2 peratus sementara lebih 73 peratus menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama.

-Advertisement-

“Lebih 28 juta dos suntikan sudah diberikan di Malaysia. Momentum kadar pemberian vaksinasi negara juga terus kekal konsisten dengan semalam terus melepasi 500,000 suntikan iaitu sebanyak 501,776 dos yang diberikan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 325,902 suntikan adalah untuk dos kedua, manakala 175,874 suntikan adalah untuk dos pertama,” katanya.

-BH