PH jangan gelojoh jika mahu kerjasama lama

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 12 Jan 2023 (The Capital Post) : Pemuda UMNO mengingatkan parti sekutunya khususnya Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini supaya tidak gelojoh jika mahu kerjasama yang terbentuk terus kekal dan bertahan lama.

-Advertisement-

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika mahu pentadbiran yang dibentuk ini kekal lama, maka keutamaannya adalah kepentingan rakyat.

“Kita bermusuh ada hadnya. Kita bersahabat pun berpada-pada. Maka Pemuda hendak mengingatkan kepada semua sekutu kita dalam kerajaan, andainya berhajat pentadbiran ini kekal lama, maka utamakanlah rakyat.

“Tunjukkanlah kejayaan dan kemampuan kita bersama-sama. Jangan diulang gelojoh kerajaan 22 bulan yang akhirnya memakan diri dan menjauhkan sokongan majoriti,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Asyraf berkata, UMNO tidak sesekali akan tunduk atau akur kepada apa-apa tuntutan yang akan menjejaskan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera serta Institusi Raja-Raja.

“Jauh sekali mahu terlentang di atas jalan raya menghalang kereta Sultan hanya kerana tidak mahu kerajaan sekutu mereka tumbang (seperti) suatu masa dahulu. Itu bukan cara orang Melayu-UMNO!,” katanya.

Beliau berkata, bukan satu yang mudah untuk membina kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan bersama parti yang sekian lama menjadi musuh utamanya, bahkan menjadi igauan bagi setiap ahli UMNO untuk menerima DAP sebagai teman.

-Advertisement-

“Sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah. Sudah banyak hati yang terguris, sudah banyak jiwa yang terluka. Tetapi hikmah kerjasama Nabi dengan bukan Islam demi memastikan agama dan bangsa ini terus subur menjadi panduan kita,” katanya.

Katanya, mungkin ada hikmah apa yang berlaku hingga mendorong UMNO membentuk kerjasama politik baharu dalam sebuah gabungan parti yang mewakili pelbagai kaum dan etnik, bukannya bersama gabungan yang dilihat hanya mewakili satu kaum semata-mata.

“Sebab itulah kita tidak boleh menjadi jumud dan menganggap sesebuah parti itu akan menjadi kawan atau lawan selamanya. Kita tidak boleh menjadi tegar (rigid) dan menganggap permuafakatan politik sedia ada sudah sempurna tanpa mengambil kira realiti dan aspirasi rakyat di luar sana.

“Kita tidak boleh menjadi kolot, dan menganggap segala strategi politik kita selama ini sudah hebat, sedangkan musuh lebih berani meneroka jalan bahkan menangguk di air keruh demi kuasa,” katanya.

-BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373