KUALA LUMPUR: Kejohanan Terbuka Singapura 2025 minggu depan bakal menyaksikan Toh Ee Wei kembali bersama rakan gandingannya Chen Tang Jie selepas hubungan kedua-dua pemain itu dikatakan mula ‘retak’ sejak temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
-Advertisement-
Selepas dipisahkan sementara oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi meredakan situasi perselisihan faham antara kedua-dua pemain berkenaan pada Mac, Tang Jie digandingkan bersama Chan Wen Tse manakala Ee Wei bersama Loo Bing Kun.
BAM dalam pada itu menyatukan semula Tang Jie dan Ee Wei untuk membantu skuad negara di Piala Sudirman yang berlangsung di Xiamen, China pada bulan lalu.
Tang Jie dan Ee Wei selepas itu kembali berpecah dan dilihat berupaya menyesuaikan diri bersama rakan gandingan baharu mereka termasuk di Masters Malaysia 2025 yang sedang berlangsung ketika ini.
Namun, gandingan Tang Jie-Wen Tse terkandas di pusingan pertama manakala Ee Wei-Bing Kun tersingkir di pusingan kedua yang berlangsung semalam yang juga pentas perpisahan bersama gandingan mereka.
-Advertisement-
Ee Wei ketika ditemui media selepas tewas di tangan gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan 21-19, 20-22, 18-21 berkata, dia mengharapkan Bing Kun dapat menimba pengalaman berharga sepanjang digandingkan bersama pada ketika dirinya akan kembali disatukan dengan Tang Jie selepas ini.
“Untuk itu, nanti kita tengok bagaimana di Singapura nanti,” kata Ee Wei ringkas sekiranya dia dan Tang Jie akan tampil lebih segar di Terbuka Singapura yang berstatus Super 750.
“Apapun, saya memang nak bawa Bing Kun supaya ramai mengenalinya kerana dia seorang yang rajin dalam latihan dan berdisiplin. Harap ini akan menjadi pengalaman untuk dia naik ke tahap seterusnya.”
Sebagai rekod, sejak digandingkan bersama pada 2022, Tang Jie-Ee Wei berjaya meraih tiga gelaran Jelajah Dunia BWF iaitu Masters Orleans 2023, Terbuka Taiwan 2023 dan Terbuka Korea 2024 selain mencapai ranking tertinggi dalam karier, ketiga dunia.
-TheStar