HSS Integrated Terima Mandat Perunding Projek Pusat Data RM22 Juta di Perak

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kuala Lumpur: HSS Integrated Sdn Bhd (HSSI), syarikat bersekutu kepada HSS Engineers Bhd (HEB), telah dilantik sebagai perunding pengurusan projek bagi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sebuah pusat data di Bagan Datuk, Perak, dengan nilai kontrak berjumlah RM22 juta.

-Advertisement-

Dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia, HEB memaklumkan bahawa HSSI menerima surat lantikan rasmi daripada Silver Streams Technofarm Sdn Bhd.

Menurut kenyataan tersebut, skop perkhidmatan yang akan dilaksanakan oleh HSSI merangkumi pengurusan keseluruhan projek, pengurusan reka bentuk, penyelarasan jadual dan program kerja, pentadbiran kos serta kontrak, pengurusan perubahan, pengurusan tapak dan pembinaan, jaminan serta kawalan kualiti, selain penyeliaan penuh sepanjang tempoh pembinaan.

HEB turut menjelaskan bahawa selaras dengan perjanjian kerjasama eksklusif antara HSSI dan HSS Engineering Sdn Bhd (HSSE), yang merupakan anak syarikat milik penuh HEB, kedua-dua entiti tersebut akan bekerjasama secara eksklusif bagi melaksanakan dan menyiapkan perkhidmatan EPCC berkenaan.

-Advertisement-

Syarikat itu menjangkakan projek tersebut akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan, hasil serta aset bersih kumpulan HEB bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026 hingga 31 Disember 2027.

Selain itu, HEB menegaskan bahawa pelantikan ini tidak akan memberi kesan terhadap modal saham atau struktur pegangan saham syarikat. Pembiayaan bagi pelaksanaan projek pula dijangka diperoleh daripada dana dalaman dan/atau kemudahan pembiayaan luaran.

Tarikh mula projek ditetapkan pada Disember 2025, manakala kerja-kerja pembinaan dan pentauliahan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2027.

-Bernama
-BeritaHarian