KUALA LUMPUR: Antara perkara utama yang menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini ialah prestasi perdagangan negara bagi tahun 2025, kriteria kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam atau tujuh tahun, serta kesediaan kerajaan untuk melaksanakan dasar tersebut.
-Advertisement-
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) meminta Perdana Menteri mengulas mengenai prestasi dan nilai perdagangan bagi tahun 2025, termasuk hasil lawatan dan misi perdagangan ke luar negara sepanjang tempoh berkenaan pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.
Dalam sesi yang sama, Datuk Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) menyoal Perdana Menteri tentang rasional dan kriteria data yang digunakan untuk menentukan usia murid Tahun Satu sama ada enam atau tujuh tahun. Beliau turut ingin mengetahui tahap kesiapsiagaan kerajaan dalam melaksanakan dasar itu serta implikasinya terhadap kebajikan murid.
Sementara itu, dalam sesi soal jawab lisan, Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) meminta Kementerian Pengangkutan menjelaskan punca utama peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia, khususnya yang melibatkan penunggang motosikal, serta langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menanganinya.
Selain itu, Yeo Bee Yin (PH-Puchong) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah individu yang telah didakwa dan disabitkan di bawah Subseksyen 424a dan 424d Kanun Keseksaan bagi memerangi akaun keldai yang terbabit dalam aktiviti penipuan.
-Advertisement-
Persidangan Dewan Rakyat juga menyaksikan upacara mengangkat sumpah Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar, selepas calon Barisan Nasional (BN) itu menang dalam Pilihan Raya Kecil baru-baru ini.
Dewan Rakyat seterusnya akan menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang dimulakan minggu lepas susulan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 19 Januari.
Menurut takwim Dewan Rakyat, persidangan kali ini dijadualkan berlangsung selama 20 hari sehingga 3 Mac.
— BERNAMA