KUCHING 30 Julai 2026, (The Capital Post) – Sarawak Science Centre Interactive Experience (SSCiEX) secara rasminya dibuka sebagai mercu tanda baharu dalam usaha memperkukuh pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Malaysia menerusi penyediaan platform pembelajaran STEM yang interaktif dan inklusif.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu bersama barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Pembukaan SSCiEX dilihat sebagai langkah strategik dalam memupuk budaya inovasi serta meningkatkan minat masyarakat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sekali gus menyokong pembangunan modal insan yang berdaya saing.
-Advertisement-
Majlis tersebut turut menandakan pembukaan rasmi Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Sarawak yang berlangsung pada 29 hingga 30 Julai di SSCiEX. Pada hari pertama penganjuran, karnival itu berjaya menarik kehadiran seramai 1,158 pengunjung yang terdiri daripada pelajar, guru, keluarga dan komuniti setempat.
MOSTI bersama Kerajaan Negeri Sarawak serta rakan strategik MySains terus komited memperkukuh ekosistem STI negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang mampu melahirkan generasi kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi demi kemajuan negara. – The Capital Post