Bakal Guru Diperkenal RPM 2026–2035

Estimate Reading Time: < 1 minute

PAHANG 14 September 2026 (The Capital Post) – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan bahawa perubahan dalam sistem pendidikan negara perlu bermula sejak bakal guru masih berada di institut pendidikan perguruan, sebelum mereka melangkah ke bilik darjah.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata pertemuan bersama bakal guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan diadakan menerusi program TEKAD Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.

Menurut beliau, sebarang dasar dan perancangan pendidikan yang dirangka di peringkat kerajaan akhirnya bergantung kepada pelaksanaannya di dalam bilik darjah, khususnya guru yang berhadapan secara langsung dengan murid.

Sehubungan itu, Datuk Seri Fadhlina berkata generasi pendidik baharu perlu didedahkan kepada aspirasi RPM sejak awal latihan supaya mereka memahami hala tuju pendidikan negara sebelum memulakan kerjaya di sekolah.

-Advertisement-

Beliau berkata para bakal guru kini sedang memperkukuh pengetahuan dan kemahiran pedagogi, namun dalam beberapa tahun akan datang mereka bakal memainkan peranan penting dalam menterjemahkan perancangan pendidikan negara kepada pengalaman pembelajaran sebenar murid.

Fadhlina turut mengalu-alukan para bakal guru untuk bersama-sama menyumbang kepada perjalanan transformasi pendidikan negara, sambil menegaskan masih banyak usaha yang perlu dilaksanakan secara bersama – The Capital Post