KPM Perkasa Potensi Murid Luar Bandar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA PILAH 14 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh pembangunan potensi murid secara holistik menerusi Karnival Pendidikan Murid Program Sekolah Model Khas Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 13 September di SMK Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Program Sekolah Model Khas merupakan inisiatif strategik KPM yang menggabungkan pendidikan rendah dan menengah di bawah satu pentadbiran pengetua sekolah menengah, khusus bagi memperluas akses serta peluang pendidikan berkualiti kepada murid luar bandar dan anak-anak daripada keluarga B40.

Karnival anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan itu menghimpunkan 347 peserta termasuk murid, guru, juri profesional dan pegawai pengiring daripada 10 Sekolah Model Khas seluruh negara, selain penyertaan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) sebagai sekolah jemputan khas.

Pelbagai aktiviti dan pertandingan dianjurkan sepanjang karnival, antaranya storytelling, nyanyian duet, pengucapan awam, poem recitation, pidato, pertandingan dron serta tarian.

-Advertisement-

Penganjuran aktiviti tersebut bertujuan mencungkil bakat dan kreativiti murid, selain membantu meningkatkan keyakinan diri serta keterampilan mereka dalam pelbagai bidang.

Majlis penutupan karnival telah disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBhg. Dato’ Zainal bin Abas.

Karnival berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan KPM dalam menyediakan ruang kepada murid untuk mengembangkan bakat, kemahiran dan potensi diri selaras dengan pendekatan pendidikan yang menyeluruh – The Capital Post