SEREMBAN JAYA, 31 Julai 2026 (The Capital Post) – Beberapa penduduk di Taman Tuanku Ampuan Najihah, Seremban Jaya menyuarakan harapan agar pelbagai isu infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan mereka dapat diselesaikan, selain menggesa perubahan kepimpinan menjelang pilihan raya.
Dalam tinjauan The Capital Post yang dijalankan di kawasan berkenaan, penduduk membangkitkan pelbagai isu termasuk keadaan jalan, lampu jalan, papan tanda, tekanan air yang rendah serta kemudahan awam yang menurut mereka masih memerlukan penambahbaikan walaupun aduan telah dibuat kepada pihak berkaitan.
Encik Hasbullah Ramli berkata inisiatif BUDI MADANI membantu meringankan kos perjalanan hariannya, namun beliau berharap skim berkenaan dapat dipertingkatkan bagi mengambil kira keperluan pekerja yang berulang-alik menggunakan motosikal untuk jarak jauh.
Sementara itu, Puan Nuraini berharap kawasan tersebut akan mengalami perubahan yang lebih baik pada masa hadapan dan menggesa pengundi memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
Puan Mageswari pula mendakwa penduduk telah lama berdepan pelbagai isu infrastruktur termasuk ketiadaan lampu jalan, papan tanda, masalah tekanan air serta penyelenggaraan kawasan yang tidak memuaskan. Menurut beliau, pelbagai aduan telah dikemukakan tetapi masih belum melihat penyelesaian yang diharapkan.
-Advertisement-
Anak beliau turut mencadangkan agar diwujudkan platform aduan yang lebih mudah diakses bagi membolehkan penduduk menyampaikan isu kepada wakil rakyat, selain memohon penambahan kemudahan seperti taman permainan dan perpustakaan komuniti.
Berdasarkan temu bual yang dijalankan, beberapa penduduk yang ditemui menyatakan hasrat mereka untuk melihat perubahan kepimpinan di kawasan berkenaan dan berpendapat wakil rakyat baharu wajar diberi peluang mentadbir bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan.
DUN Seremban Jaya mempunyai seramai 33,015 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026. Pengundian awal telah berlangsung pada 28 Julai, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos 2026. – The Capital Post.