PUTRAJAYA 22 OGOS 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkukuh usaha penyelarasan komunikasi strategik menerusi Mesyuarat Komunikasi Strategik KUSKOP Bersama Agensi yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, hari ini.
Mesyuarat tersebut turut disertai pengurusan tertinggi serta pegawai komunikasi strategik kementerian dan agensi berkaitan bagi membincangkan pendekatan komunikasi yang lebih tersusun dalam menyampaikan dasar dan inisiatif sektor keusahawanan serta koperasi.
Sesi berkenaan menjadi platform untuk menyelaras hala tuju komunikasi, memperkemas strategi media dan memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih pantas, tepat serta memberi impak.
Dalam amanatnya, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee menegaskan bahawa pegawai komunikasi korporat KUSKOP dan agensi memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat.
-Advertisement-
Menurut beliau, pengalaman, keupayaan dan komitmen pegawai komunikasi perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan penyampaian maklumat dilaksanakan secara tepat dan berkesan, selain membantu memperkukuh keyakinan serta kefahaman rakyat terhadap usaha kerajaan.
Kerjasama yang lebih erat antara kementerian dan agensi juga dilihat penting bagi memastikan mesej berkaitan pembangunan usahawan serta gerakan koperasi dapat disampaikan secara konsisten melalui saluran komunikasi yang bersesuaian.
KUSKOP komited untuk terus memperkukuh sinergi komunikasi strategik bersama agensi dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat kepada rakyat, memperkukuh keyakinan terhadap agenda kerajaan serta memperluas naratif “Hebatkan Perniagaan Malaysia” secara lebih menyeluruh. – The Capital Post