SABAH 26 OGOS 2026 (The Capital Post) – Projek pembaikan infrastruktur, elektrik dan mekanikal serta kerja berkaitan di Kolej Vokasional Beaufort, Sabah memasuki fasa pelaksanaan rasmi selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) berlangsung hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ir. Ts. Fadzilah binti Sulaiman, Yang Menjalankan Tugas Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. Kontrak projek telah dianugerahkan kepada WAAQIL SDN. BHD. dengan nilai keseluruhan sebanyak RM25,839,940.
Projek berkenaan merangkumi kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan infrastruktur serta bangunan melibatkan beberapa disiplin kejuruteraan, termasuk kerja awam, geoteknik, elektrikal dan mekanikal.
Majlis penyerahan SST turut disaksikan wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bahagian Pengurusan Aset, En. Mohamad Taufiq bin Kamal Roslan selaku Ketua Pasukan Projek (HOPT), bersama Pasukan Reka Bentuk (HODT). Wakil Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Sabah, turut menyertai majlis secara dalam talian.
-Advertisement-
Berdasarkan perancangan projek, tarikh milik tapak ditetapkan pada 9 September 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan. Projek dijangka disiapkan sepenuhnya pada 8 September 2028.
Pelaksanaan projek pembaikan komprehensif ini dijangka menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, kondusif dan berkualiti kepada warga Kolej Vokasional Beaufort. Penambahbaikan kemudahan turut dilihat penting bagi menyokong pelaksanaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) secara lebih berkesan.
Kemudahan yang lebih lengkap dan sesuai akan membantu pelajar menjalani latihan kemahiran dalam persekitaran yang lebih baik, sekali gus menyokong usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan pembangunan negara – The Capital Post