Abdul Aziz Rasmi Timbalan KPN

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 16 September 2026 (The Capital Post) – Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid secara rasmi memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), sekali gus memperkukuh barisan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau mengambil alih tanggungjawab itu menerusi Majlis Serah Terima Tugas (STT) dan Pemakaian Lencana Pangkat yang berlangsung semalam, 15 September 2026, di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL).

Majlis penyerahan tugas antara pemangku Timbalan KPN, CP Dato’ Sri Ibrahim Darus dan Dato’ Sri Abdul Aziz itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Khalid Haji Ismail, susulan pelantikan baharu yang berkuat kuasa pada 14 September 2026.

Dato’ Sri Abdul Aziz mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai jawatan penting PDRM, termasuk sebagai Pengarah Pengurusan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman serta Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Dalam majlis sama, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah yang sebelum ini memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak dilantik sebagai Pengarah Pengurusan baharu bagi menggantikan Dato’ Sri Abdul Aziz.

Ketika berucap, Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Khalid mengingatkan bahawa pangkat yang disandang bukan sekadar lambang di bahu, sebaliknya membawa tanggungjawab besar sebagai seorang pemimpin dalam pasukan.

Beliau turut menyeru barisan kepimpinan PDRM supaya sentiasa tegas, positif, tenang, sabar dan bertoleransi serta mempunyai keberanian untuk melakukan perkara yang benar dalam usaha memperbetulkan sebarang kesilapan.

-Advertisement-

Majlis turut dimulakan dengan pemakaian lencana pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Datuk Mohamad Zainal, diikuti pemakaian lencana pangkat kepada 25 pegawai kanan PDRM yang terdiri daripada DCP, SAC, ACP dan SUPT.

Upacara menandatangani dokumen rasmi serta penyerahan tongkat kuasa Pengarah Pengurusan turut diadakan sebagai simbolik penyerahan amanah dan tanggungjawab kepada penyandang baharu.

Selain itu, majlis menyaksikan Serah Terima Tugas jawatan Setiausaha Polis Malaysia daripada DCP Dato’ Mohamad Noor Yusof Ali kepada penyandang baharu, DCP Mohamad Mashdik Yahya.

Turut berlangsung ialah STT jawatan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia serta Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan, termasuk sesi menandatangani dan penyerahan dokumen rasmi yang disaksikan Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose.

Majlis berkenaan turut dihadiri barisan pengarah, pegawai kanan PDRM serta ahli-ahli PERKEP Malaysia – The Capital Post