KUCHING 17 September 2026 (The Capital Post) – Kerajaan memperkukuh keupayaan operasi penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Sarawak menerusi penyerahan Projek Pembinaan Stor Rampasan Pejabat Penguatkuasaan Kastam, Kuching, Sarawak yang bernilai RM9.98 juta.
Projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia sebagai agensi pelaksana itu diserahkan kepada JKDM di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dalam satu majlis yang disempurnakan Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Projek berkenaan dilaksanakan Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia bermula 14 Mei 2024 menerusi kaedah Konvensional Perunding dengan MSD Enterprise Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pula telah dikeluarkan pada 26 Mei 2026.
Kemudahan baharu itu merangkumi Bangunan Pejabat Operasi dan Stor Rampasan dengan tiga unit ruang penyimpanan, Bilik Kebal, Bilik Eksibit, ruang pembakaran terbuka serta sistem penyimpanan yang lebih tersusun dan selamat.
Projek tersebut turut menyediakan 40 petak parkir terbuka, 20 petak parkir berbumbung, pondok pengawal, bilik pam, tangki air serta kemudahan sistem mekanikal dan elektrikal bagi menyokong keperluan operasi JKDM.
Reka bentuk stor berkenaan mengadaptasi pendekatan Pre-Approved Plan (PAP) JKR Malaysia berdasarkan reka bentuk Stor Rampasan Kastam di Seremban, Negeri Sembilan yang disesuaikan dengan keperluan operasi. Pendekatan itu membolehkan proses reka bentuk dan pelaksanaan projek dipercepatkan selain meningkatkan keseragaman standard reka bentuk kemudahan kerajaan.
-Advertisement-
Aspek Environmental, Social and Governance (ESG) turut diterapkan menerusi elemen pengudaraan semula jadi, kemudahan untuk pengguna termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), ciri keselamatan serta sistem pengurusan barang rampasan yang lebih teratur dan berintegriti.
Pembinaan kemudahan baharu itu juga mengurangkan kebergantungan JKDM terhadap premis sewaan swasta yang sebelum ini digunakan untuk penyimpanan barang rampasan dan tidak lagi mampu memenuhi peningkatan keperluan operasi.
Dengan adanya stor khusus tersebut, pengurusan barang rampasan dapat dilaksanakan dalam persekitaran yang lebih sistematik, selamat dan terkawal, sekali gus menyokong kecekapan tugas penguatkuasaan kastam di Sarawak.
Nanta turut merakamkan penghargaan kepada MOF, JKDM, PPK2 JKR Malaysia, pasukan perunding, kontraktor utama serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama sehingga projek berkenaan berjaya disiapkan.
JKR Malaysia akan terus memantau tanggungjawab kontraktor sepanjang tempoh tanggungan kecacatan (DLP) bagi memastikan kerja pembaikan dan penyelenggaraan dilaksanakan mengikut spesifikasi serta piawaian yang ditetapkan – The Capital Post