KUALA LUMPUR 18 September 2026 (The Capital Post) – Kuala Lumpur bakal menikmati tambahan hampir 120 ekar ruang rekreasi dan taman menerusi beberapa inisiatif baharu yang dirancang bagi memperluas kemudahan awam serta memperkukuh perlindungan kawasan hijau di ibu negara.
Perkara itu dimaklumkan YB Puan Hannah Yeoh Tseow Suan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), menerusi kenyataan berkaitan usaha memperluas kawasan rekreasi dan pemeliharaan ruang hijau di Kuala Lumpur.
Antara langkah yang dirancang ialah memanfaatkan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai kawasan rekreasi, termasuk di sekitar Sungai Bunus dan Taman Kejiranan Kolam Ayer Panas bagi menyediakan lebih banyak ruang untuk aktiviti riadah serta kegunaan komuniti setempat.
DBKL turut merancang pembangunan taman baharu di kolam bersebelahan Jalan Tasik Permaisuri 3, Bandar Tun Razak, melibatkan kawasan kira-kira 11.3 ekar.
Selain itu, kawasan seluas kira-kira 63.45 ekar di Kolam Takungan Kampung Sungai Bohol dicadang untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi dengan penglibatan pihak swasta. Perancangan tersebut turut merangkumi penyediaan trek joging dan laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira lapan kilometer.
Bagi 2027, DBKL turut merancang pembangunan lebih 20 kawasan lapang baharu yang masing-masing berkeluasan melebihi satu ekar. Kemudahan seperti trek joging, pencahayaan dan kawasan lapang berumput akan disediakan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Secara keseluruhannya, pembangunan di Sungai Bunus, Kolam Ayer Panas, kawasan kolam bersebelahan Jalan Tasik Permaisuri 3, Bandar Tun Razak, Kolam Takungan Kampung Sungai Bohol serta lebih 20 kawasan lapang baharu itu dijangka melibatkan hampir 120 ekar ruang rekreasi dan taman.
-Advertisement-
Dalam usaha memperbaharui kemudahan awam, DBKL turut mencadangkan reformasi taman permainan kanak-kanak bagi memastikan kemudahan sedia ada lebih selamat, menarik dan bersesuaian dengan keperluan semasa. Permohonan peruntukan menerusi pendekatan Geran Padanan kepada Kementerian Kewangan bagi Inisiatif Belanjawan 2027 telah dikemukakan untuk menaik taraf 14 taman permainan di beberapa kawasan Parlimen.
DBKL juga sedang menjalankan kajian mengenai potensi penyediaan laluan berbasikal dan larian di kawasan Tanah Perkuburan Kwong Tong yang berkeluasan kira-kira 165 ekar. Kawasan itu berpotensi menyediakan laluan rekreasi awam sepanjang kira-kira empat kilometer, tertakluk kepada penelitian terhadap kesesuaian laluan, pencahayaan dan keadaan jalan.
Dari aspek perlindungan kawasan hijau pula, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) telah mewartakan empat lagi lot kawasan lapang, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan lapang yang telah diwartakan di Kuala Lumpur sebanyak 556 lot.
Maklumat berkaitan kawasan yang telah diwartakan boleh disemak orang ramai melalui MyHijau di portal rasmi PPTGWP. Pada masa sama, Jabatan Wilayah Persekutuan akan mengemukakan cadangan dalam perancangan Inisiatif Belanjawan 2027 bagi mewujudkan serta memperkasa pasukan penguatkuasaan khusus untuk melindungi kawasan lapang yang telah diwartakan.
Usaha berkenaan mencerminkan perancangan berterusan untuk memperluas akses warga kota kepada ruang rekreasi berkualiti di samping memastikan kawasan hijau yang tersedia terus dipelihara dan dimanfaatkan secara berkesan – The Capital Post