SUKNA Ke-21 Himpun 648 Peserta

Estimate Reading Time: < 1 minute

SERDANG 18 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 648 peserta menyertai Kejohanan Sukan Nasional Perancang Bandar dan Desa Malaysia Ke-XXI (SUKNA Ke-21) yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Majlis perasmian kejohanan itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YBhg. Datuk Wira Dr. M Noor Azman bin Taib, malam tadi.

SUKNA Ke-21 berlangsung dari 17 hingga 20 September 2026 dengan PLANMalaysia Selangor diberi tanggungjawab sebagai tuan rumah. Penganjuran kali ini mengangkat tema perpaduan dan kecemerlangan, “Kejayaan Bersama, Semangat Juara”.

Daripada keseluruhan penyertaan, Zon Ibu Pejabat (HQ) merekodkan jumlah peserta tertinggi dengan 133 orang, diikuti Zon Selatan seramai 126 peserta, Zon Timur (119), Zon Utara (114), Zon Tengah (109) dan Zon Sabah dengan 47 peserta.

Majlis pembukaan turut menyaksikan Kontinjen Zon Timur menerima Anugerah Perbarisan Terbaik hasil persembahan mereka dalam acara perbarisan sempena kejohanan tersebut.

-Advertisement-

Kemeriahan majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah PLANMalaysia bersama barisan kepimpinan jabatan serta tetamu kehormat yang memberikan sokongan kepada para peserta dan kontinjen.

Kejohanan ini menjadi platform untuk warga perancang bandar dan desa mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan peserta, selain memberi ruang kepada setiap kontinjen untuk bersaing secara sihat dan berintegriti.

Semua atlet dan kontinjen yang mengambil bahagian turut diharapkan dapat menampilkan semangat kesukanan yang tinggi, memperkukuh silaturahim serta menjunjung nilai integriti sepanjang kejohanan berlangsung – The Capital Post