Menteri Kesihatan Tinjau Perkhidmatan dan Fasiliti Hospital Besut

Estimate Reading Time: < 1 minute

BESUT, 21 September 2026 (The Capital Post) – Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengadakan lawatan kerja ke Hospital Besut, Jerteh, Terengganu bagi meninjau keadaan fasiliti serta penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

Dalam lawatan itu, beliau meninjau fasiliti di wad kecemasan, respiratori dan oftalmologi serta meluangkan masa menyantuni pesakit, waris dan petugas kesihatan.

Hospital Besut mula beroperasi selepas dirasmikan oleh KDMM Tuanku Ismail Nasaruddin Shah, Sultan Terengganu pada 17 Julai 1975.

Sehingga 2025, hospital berkenaan menyediakan perkhidmatan kepada lebih 180,000 penduduk.

-Advertisement-

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk rawatan kecemasan, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, ortopedik serta oftalmologi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman bin Yacob; Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, YBhg. Dato’ Dr. Wan Abdul Rahim bin Wan Muhammad; Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perkembangan Perubatan, YBrs. Dr. Izzuna Mudla binti Mohamed Ghazali; dan Pengarah Hospital Besut, YBrs. Dr. Nor Ilyani binti Hasbullah.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, lawatan itu turut memberi peluang kepada Menteri Kesihatan melihat sendiri keadaan fasiliti serta berinteraksi dengan pesakit, waris dan petugas hospital. – The Capital Post