Polis Siasat Video Tular Lelaki Didakwa Kasari Wanita di Kota Tinggi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA TINGGI 23 September 2026 (The Capital Post) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung satu rakaman video yang tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki didakwa mengasari seorang wanita di Felda Kledang, Gugusan Adela, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya mengesan rakaman berdurasi 44 saat itu selepas ia dimuat naik di platform Facebook kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Menurut beliau, rakaman tersebut memaparkan seorang lelaki bertindak menolak dan menendang seorang wanita sebelum kejadian itu dirakam oleh seorang wanita tempatan yang kemudiannya membuat laporan polis.

Susulan laporan berkenaan, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan selain menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-Advertisement-

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan atau memudaratkan mana-mana pihak.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atau balai polis berhampiran bagi membantu pihak berkuasa melengkapkan siasatan – The Capital Post