SHANGHAI 23 SEPTEMBER 2026(The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik usaha Bank Rakyat meneroka kerjasama strategik bersama dua gergasi teknologi China, Alibaba Cloud dan Lenovo dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi kewangan atau fintech.
Sejurus tiba di Shanghai, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyertai sesi libat urus strategik antara Bank Rakyat bersama Alibaba Cloud dan Lenovo bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata usaha transformasi Bank Rakyat dalam memperkukuh keupayaan digital perlu terus diperkasa menerusi penerokaan peluang kerjasama yang lebih luas merentasi pelbagai lapangan perniagaan Alibaba.
Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan penglibatan Lenovo sebagai rakan ekosistem dalam Hab Komuniti Fintech Bank Rakyat.
-Advertisement-
Menurut Anwar, sinergi strategik itu berpotensi membuka ruang perkongsian teknologi, kepakaran dan pengalaman yang dapat memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), gerakan koperasi serta usahawan tempatan.
Kerjasama berkenaan juga berpotensi menyokong penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap, inklusif dan berkualiti kepada masyarakat.
Beliau menegaskan setiap kerjasama strategik yang dibangunkan perlu memberikan nilai tambah kepada ekonomi negara, meningkatkan daya saing Malaysia serta memastikan manfaat yang bermakna dapat dinikmati rakyat – The Capital Post