BINTULU 24 September 2026 (The Capital Post) – Cubaan beberapa warga asing mengelak daripada ditahan dengan bersembunyi di bawah rumah kongsi pekerja serta di sebalik longgokan sampah gagal selepas lokasi persembunyian mereka berjaya dikesan anggota penguat kuasa dalam operasi bersepadu di sekitar bandar Bintulu, semalam.
Operasi yang dijalankan Unit Penguatkuasaan Imigresen Bintulu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Bintulu bermula jam 10 pagi, 21 September hingga 6 pagi, 22 September 2026 itu membabitkan Ketua Imigresen Bahagian Bintulu, Tuan Presely Geoffrey, bersama 20 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dan sembilan anggota PPM Wilayah Bintulu.
Sebanyak enam lokasi sekitar kawasan bandar Bintulu diperiksa menerusi Ops Selera, Ops Mahir dan operasi bersama bagi mengesan individu yang dipercayai melanggar peraturan imigresen.
Ketika pemeriksaan dijalankan, beberapa warga asing cuba melarikan diri sebelum memilih ruang di bawah rumah kongsi pekerja sebagai lokasi persembunyian, termasuk bersembunyi di celah longgokan sampah.
Bagaimanapun, taktik itu gagal apabila anggota operasi melakukan pemeriksaan menyeluruh dan terpaksa menyusup ke ruang bawah rumah berkenaan bagi mengesan serta menahan individu terbabit.
-Advertisement-
Hasil operasi, seramai 127 individu diperiksa dengan 84 warga asing ditahan. Daripada jumlah itu, 67 merupakan lelaki dewasa, 16 perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Pecahan kewarganegaraan mereka terdiri daripada 82 warga Indonesia dan dua warga Filipina. Kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke Depot Imigresen Bekenu untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
JIM Sarawak berkata operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan akan terus dipergiatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membendung keberadaan warga asing yang melanggar peraturan di Sarawak – The Capital Post.