PUTRAJAYA, 4 November 2026 – Malaysia terus memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan data keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Teknikal Serantau Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang berlangsung di Putrajaya pada 3 November 2026.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), YBrs. Dr. Hj. Mohd Shaharin bin Umar, dalam mesyuarat anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Mesyuarat tersebut menghimpunkan lebih 100 penggubal dasar dan pakar teknikal dari rantau Asia Pasifik bagi membincangkan usaha memperkukuh pengurusan data keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Antara tumpuan utama perbincangan ialah meningkatkan keberkesanan sistem pelaporan, perekodan dan pemberitahuan kemalangan serta penyakit pekerjaan melalui pengurusan data yang lebih tepat, berkualiti dan sistematik.
-Advertisement-
Pengurusan data KKP yang komprehensif penting bagi menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti, mengenal pasti risiko di tempat kerja serta merangka strategi pencegahan yang lebih berkesan.
Usaha ini juga dapat membantu memperkukuh perlindungan terhadap keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja melalui penggunaan maklumat yang lebih menyeluruh dalam perancangan serta pelaksanaan langkah pencegahan.
Melalui platform kerjasama serantau ini, Malaysia turut memperkukuh hubungan strategik dengan ILO dan negara-negara Asia Pasifik dalam meningkatkan keupayaan pengurusan maklumat serta memperkasa amalan pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan. – The Capital Post