ADUN PAS minta digugurkan bertanding pada PRN

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA NERUS: PAS negeri mengakui ada antara wakil rakyatnya minta digugurkan daripada dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

-Advertisement-

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata wakil rakyat berkenaan menghantar surat kepada pimpinan tertinggi parti minta namanya digugurkan.

Bagaimanapun, katanya, pimpinan tertinggi parti belum membuat keputusan sama ada memenuhi permintaan atau sebaliknya.

“Mereka memberi alasan minta digugurkan daripada bertanding untuk memberi peluang kepada muka baharu.

“Tindakan beberapa wakil rakyat menghantar surat meminta namanya digugurkan dan memberi ruang kepada muka baharu adalah pendirian unik,” katanya kepada media selepas merasmikan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Putih serta Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd, Abdul Karim Endut.

Pada PRU14, PAS menguasai 22 daripada kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala 10 lagi kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).

Kerusi dimenangi BN adalah DUN Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Langkap, Permaisuri, Jertih, Kuala Besut dan Hulu Besut.

-Advertisement-

Selain Terengganu, lima negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan akan mengadakan PRN.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar mengesahkan gandingan muka lama dan baharu akan bertanding pada PRN nanti.

Mengulas kaedah menggunakan bapa angkat untuk membantu kelancaran kempen, ADUN Rhu Rendang itu berkata, PAS dan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan strategi sendiri.

Katanya, PAS ada cara dan strategi yang lebih baik daripada menggunakan kaedah bapa angkat untuk membantu jentera pilihan raya di 32 DUN.

“Apabila sebut soal strategi, kita tidak boleh dedahkan, tetapi strategi akan digunakan lebih baik daripada menggunakan bapa angkat,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373