Permohonan Rosmah tangguh prosiding rayuan kes solar didengar Jumaat ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor memohon untuk menangguhkan prosiding rayuan bagi mengetepikan sabitan kes rasuah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta yang dikenakan terhadapnya.

-Advertisement-

Permohonan isteri bekas perdana menteri itu akan didengar melalui sebutan kes pada Jumaat ini.

Peguam belanya, Datuk Akberdin Abdul Kader, ketika dihubungi media hari ini mengesahkan perkara itu dan menyatakan pembelaan memohon penangguhan bagi membolehkan rayuan berhubung pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan diputuskan Mahkamah Persekutuan terlebih dulu.

Pada 22 Jun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah bagi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.

Akberdin berkata, permohonan penangguhan itu sudah dimaklumkan kepada Mahkamah Rayuan melalui surat yang dihantar pada bulan lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn, ketika dihubungi media berkata sebutan kes pada Jumaat ini berkemungkinan besar berhubung rayuan menangguhkan prosiding.

Beliau berkata, semua pihak sudah memfailkan hujahan masing-masing dan tarikh pendengaran akan ditentukan pada hari sebutan berkenaan.

-Advertisement-

Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu, menetapkan selama empat hari bermula 11 Julai ini untuk mendengar rayuan berkenaan.

Pada 1 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 71, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Rosmah, hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Beliau juga didenda RM970 juta atau penjara 10 tahun.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373