Agong berkenan Ismail Sabri dilantik Perdana Menteri

Estimate Reading Time: 3 minutes

Kuala Lumpur, 20 Ogos, 2021 – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

-Advertisement-

Pada sesi Perbincangan Khas ini, yang berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2.30 petang, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Yang Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin pada 16 Ogos 2021 lalu.

Proses ini adalah lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda semasa sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 di mana kesemua 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah diminta untuk menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration).

Pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi surat-surat akuan tersebut adalah dengan tujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021 lalu.

Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.

Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.

Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka Kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.

Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19. Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin

Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara

-Advertisement-

Biodata Perdana Menteri ke-sembilan

Nama: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Tarikh Lahir: 18 Januari 1960
Tempat Lahir: Temerloh, Pahang

Pendidikan

Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya (UM) (1980)
Tingkatan enam (6) di Jaya Akademik
Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang (1976)
Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan, Pahang (1973)
Sekolah Kebangsaan Bangau, Pahang (1967)

Keluarga

# Mendirikan rumah tangga pada tahun 1986 dengan Datin Seri Muhaini Zainal Abidin
# Mempunyai 4 cahaya mata seorang anak perempuan dan 3 anak lelaki iaitu:-

– Nina Sabrina
– Gadaffi lebih dikenali sebagai Dafi
– Nashriq
– Iqbal

Kerjaya/Perkhidmatan

1985 – Peguam
1995 – 1999 – Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
2008 – 2009 – Menteri Belia dan Sukan
9 April 2009 – 2013 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
2013 – 2015 – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
2015 – 2018 – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
12 Mac 2020 – Menteri Kanan (Menteri Pertahanan), (Kluster Keselamatan)
7 Julai 2021 – Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Aktiviti/Kegiatan Luar/Lantikan Lembaga Pengarah

1987 – Ahli Majlis Daerah Temerloh
1996 – Ahli Majlis Perbandaran Temerloh
1995 – Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pahang Tenggara (DARA) & Ahli Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
1996 – Pengerusi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil

Politik

1987 – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh
1988 – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh
1993 – Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian
2001 – Timbalan Ketua Bahagian
2004 – Ketua UMNO Bahagian Temerloh & Ahli Parlimen Bera, Pahang

Anugerah

Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) – Datuk (2004)
Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) – Datuk Seri (2020)
Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) – Dato’ (2005)
Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) – Dato’ Sri (2008)
Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) – Datuk Seri Panglima (2020)