Bantuan kecemasan bagi Orang Asli Kelantan dihantar guna helikopter bomba

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR- Bantuan kecemasan berupa bekalan makanan dan keperluan asas lain bagi masyarakat Orang Asli dari beberapa kampung di Kelantan yang terjejas ekoran banjir dan gajah liar baru-baru ini, diterbangkan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.

-Advertisement-

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata bantuan tersebut dibawa menggunakan helikopter jenis AW189, BOE Agusta JBPM yang berlepas dari hangar dekat Subang, pada pukul 3.30 petang tadi.

Katanya, pesawat itu mendarat di Pos Gob, Pos Simpor dan Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan pada pukul 5 petang untuk menyerahkan bantuan tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan JBPM atas kerjasama pantas yang telah mereka berikan demi memastikan usaha mengurangkan bebanan komuniti Orang Asli di kawasan terjejas, diselesaikan secepat mungkin.

-Advertisement-

“Selain barangan yang dihantar itu, JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) juga akan menghantar barangan keperluan lain dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, lebih 130 orang dari komuniti Orang Asli di kawasan tersebut terjejas selepas tanaman mereka dimusnahkan gajah liar dan kini kampung yang didiami turut dilanda banjir.

Hujan lebat menyebabkan komuniti tersebut terputus hubungan berikutan kerosakan jalan perhubungan utama sepanjang 10 kilometer yang menyambungkan Pos Simpor dengan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis.- BERNAMA