Bekas ADUN Pulau Tikus tarik diri jadi calon kerana masalah kesihatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

Georgetown: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit, mengumumkan menarik diri daripada menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan akibat masalah kesihatan.

-Advertisement-

Chun Kit, 41, yang menyertai DAP sejak 2007 berkata, keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dalam PRN itu dibuat selepas beliau berunding dengan pemimpin parti serta keluarga.

Melalui kenyataan di Facebook, katanya, beliau mengalami penurunan berat badan paling rendah sepanjang hidupnya ketika musim pandemik COVID-19 sekitar 2021 dan hasil ujian darah mengesahkan beliau menghidap ‘hipertiroidisme’ yang juga penyakit keturunan dalam keluarganya.

“Saya telah menguruskan keadaan diri dan kawasan pilihan raya saya sebaik mungkin, tetapi pada masa ini selepas berunding dengan pemimpin parti dan keluarga, saya memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding.

-Advertisement-

“Mempunyai ibu bapa warga emas dan adik perempuan autistik yang bergantung kepada saya, memerlukan saya untuk membuat keputusan sukar ini dan harus meletakkan kesihatan sebagai keutamaan.

“Saya berharap apabila akhirnya selesai dengan perkara ini, saya boleh kembali berkhidmat kepada rakyat semula,” katanya hari ini.

Chun Kit melalui hantaran sama turut memuat naik gambar menunjukkan keputusan ujian hormon tiroid iaitu tiroksin (T4) yang menunjukkan tahap bacaan hampir tiga kali ganda berbanding julat normal.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada calon Pakatan Harapan (PH) seterusnya untuk Pulau Tikus dan saya akan sentiasa menyokong beliau dalam apa cara sekalipun.

“Terima kasih buat pemimpin parti, keluarga dan rakan-rakan yang menyokong saya dan terima kasih kepada semua untuk lima tahun yang indah,” katanya.

DAP Pulau Pinang dijadual mengadakan majlis pengumuman calon parti itu di sebuah hotel di sini jam 5 petang ini.
– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373