Biaya projek BRI China rancakkan pasaran modal Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Aktiviti meraih dana menerusi penyenaraian di bursa saham bagi membiayai projek infrastruktur berkaitan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China dan penubuhan dana infrastruktur digital adalah langkah yang boleh dilaksanakan bagi merancakkan aktiviti pasaran modal tempatan, demikian menurut pakar pasaran.

-Advertisement-

Pengerusi Institut Penyelidikan Pasaran Modal Malaysia (ICMR), Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, berkata menggalakkan penyenaraian syarikat yang terbabit dalam projek infrastruktur BRI dijangka menarik minat pelabur, terutama pelabur asing memasuki pasaran tempatan.

Beliau berkata, kerjasama dengan rakan serantau lain bagi menggalakkan aktiviti penyenaraian dwi juga boleh merancakkan lagi penyenaraian berkaitan projek infrastruktur BRI.

“Dari segi pasaran modal, terdapat beberapa perkara boleh dilihat secara khusus untuk merancakkan pasaran.

Kita boleh menyemarakkan semula penyenaraian infrastruktur khususnya berkaitan projek BRI.

“Kita boleh bekerjasama dengan dua atau tiga pengendali bursa lain untuk penyenaraian dwi (berkaitan projek berkenaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Persidangan Merapatkan Jurang Bakat Industri-Universiti untuk Membentuk Semula Pasaran dan Kewangan anjuran Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR) dengan kerjasama Securities Industry Development Corporation (SIDC) di sini, hari ini.

-Advertisement-

Mohd Munir berkata, penubuhan dana infrastruktur digital yang boleh disenaraikan dan diuruskan oleh pengurus dana juga boleh merancakkan aktiviti pasaran modal tempatan.

Beliau berkata, dengan adanya dana khusus itu membolehkan dana yang diraih akan dilaburkan dalam projek berkaitan digital.

Selain itu, Mohd Munir berkata, Malaysia juga boleh menjadi hab untuk pendidikan dan latihan berkaitan pasaran modal dengan menjalin kerjasama dengan pengawal selia modal dan bursa lain.

Katanya, Malaysia boleh memanfaatkan keanggotaan ASEAN dan meningkatkan kerjasama dengan negara serantau lain bagi menarik minat pelaburan dalam pasaran tempatan dan serantau.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373