Bekas ADUN Wanita dilantik bakal calon DUN Ladang

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: PAS dijangka mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita yang dilantik, Zuraida Md Noor di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

-Advertisement-

Zuraida yang juga Ketua Pengarah Ameerah Malaysia dikatakan akan bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Ladang yang dimenangi Datuk Tengku Hassan Tengku Omar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Tengku Hassan yang menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Sabri Alwi dikatakan memilih untuk tidak bertanding bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Pada PRU14, Tengku Hassan memperoleh 8,201 undi, manakala Mohd Sabri (7,838) dan calon PKR, Zulkifli Mohamad mendapat 2,836 undi.

Tengku Hassan yang juga EXCO kerajaan negeri memberi bayangan beliau tidak akan bertanding mempertahankan kerusi DUN berkenaan dalam ceramah PRN DUN Ladang, di Dataran Gelong Bilal, di sini, Rabu lalu.

Sementara itu, Zuraida ketika ditemui berkata, beliau sedia memberi komitmen dan menunaikan amanah, tanggung jawab dan kepercayaan sekiranya diberi peluang bertanding.

-Advertisement-

“Saya tidak mahu ulas panjang mengenai perkara ini. Sama ada terpilih (sebagai calon) atau tidak, saya serah kepada pucuk pimpinan (buat keputusan).

“Sekiranya diberi peluang, saya akan beri komitmen sepenuhnya bagi mengekalkan kemenangan kerusi DUN Ladang.

“Kalau tidak (terpilih sebagai calon) saya tetap akan bekerja untuk parti dan membantu kempen bagi memastikan calon yang bertanding di kerusi itu nanti menang.

“Saya memang dari DUN Ladang dan sebelum ini pun bekerja (untuk parti) DUN Ladang,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373