Bicara kes saman Clare Rewcastle-Brown kekal di Mahkamah Kuala Terengganu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kes perbicaraan Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang didakwa memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah akan terus kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

-Advertisement-

Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, hari ini menolak permohonan wanita berasal dari United Kingdom itu untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini.

Ketika menolak permohonan itu, Muniandy berkata, kuasa pemindahan di bawah Seksyen 417 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) hanya perlu dilaksanakan sekiranya mahkamah ini mendapati jika kes tidak dipindahkan akan mengakibatkan satu perbicaraan yang tidak adil dan berat sebelah.

“Permohonan pemohon (Rewcastle-Brown) kurang merit. Ia dengan ini ditolak,” kata hakim sambil menambah kebimbangan Rewcastle-Brown dia tidak akan diberikan perbicaraan yang adil di Kuala Terengganu adalah tidak munasabah.

Muniandy juga menyatakan beberapa alasan lain antaranya tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, majistret yang mengetuai kes di Kuala Terengganu adalah bebas dan tidak berat sebelah dan dia (Rewcastle-Brown) tidak dihalang untuk menyampaikan hujahan terhadap fakta dan undang-undang sebelum majistret mencapai sesuatu penemuan.

“Jika keputusan kes itu tidak memihak kepada pemohon, dia berhak merayu terhadap keputusan itu ke Mahkamah Tinggi menurut Seksyen 307 (1) CPC.

“Pemohon tertakluk kepada undang-undang negara di mana dia didakwa melakukan jenayah, justeru sistem perundangan Malaysia, termasuk proses keadilan jenayahnya diguna pakai,” kata hakim itu.

-Advertisement-

Muniandy kemudiannya memerintahkan supaya kes itu kekal di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan kes itu sepatutnya diteruskan ke perbicaraan tanpa sebarang halangan lagi memandangkan tarikh pertuduhan sudah lama iaitu pada 23 September 2021.

Rewcastle-Brown didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu tanpa kehadirannya pada 23 September 2021 atas kesalahan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah, melalui buku “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose,”.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman manakala Rewcastle-Brown diwakili peguam Guok Ngek Seong.

Turut hadir pada prosiding hari ini Siti Anis Che Ab Wahab sebagai peguam pemerhati Sultanah Nur Zahirah.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373